Assalamualaikum & selamat sejahteraiiinye punn adoooiii.
Agak lama jugak aku tak merapu dalam blog ni. Gatal pulak jejari runcing ni nak menaip. Hehe. Okay lah. Merujuk pada entri dan gambar paling stylo dari Safee Sali & Amirulhadi di atas, rasanya semua rakyat Malaysia tau yang harapan kita nak masuk World Cup 2014 dah pun berkecai. Kita tumbang dengan agak teruk pada Singapore. Menangis air mata darah sekalipun takde gunanya pun adoi terberrrrr~
Kecewa? Wajib. Ye lah, pada pendapat aku ni la team terbaik yang Malaysia pernah hasilkan sepanjang 24 tahun aku hidup. Memang jauh lagi kalau nak compete dengan negara Asia lain macam Jepun & Korea Selatan. Tapi dengan kejayaan kita menakluki Asia Tenggara, bolehlah dikatakan bahawa kita dah maju setapak dalam kemajuan bola sepak. Kita ada powerful striker & great finisher Safee Sali, technically gifted & skillful dribbler Norshahrul Idlan Talaha, pacey & hardworking winger S.Kunanlan, dead ball master & midfield maestro Safiq Rahim, young & talented defender Muslim Ahmad & charismatic goalkeeper Khairul Fahmi Che Mat (ada macam game Football Manager sikit tak ayat2 aku?). Ditambah dengan barisan pemain mantap lain yang kita ada, sah Singapore bukan ancaman besar buat team Malaysia. Kemenangan memang sudah dalam jangkaan semua peminat bola sepak tempatan.
Jangan lupa, dalam masa seminggu sebelum 1st leg game kat Singapore, kita melayan kunjungan 3 kelab separa hebat dari BPL (kelab terhebat pulak pergi tour kat US. Hehehe.) Ya, dari situ lah kelemahan kita terserlah. Dengan Arsenal kita bolos 4 tanpa balas, dengan Liverpool kita bolos 6 walaupun kita score 3 bijik. Dengan Chelsea kita hanya tewas 1-0 hasil jaringan Didier Drogba yang bagi aku tak masuk pun. Linesman kena laser agak nya. Tu pun Malaysia hanya turunkan skuad Olimpik bimbingan Ong Kim Swee. Nampak? Tak? Okay, apa kata kita undur sikit ke match sebelum tu. Kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan pertama, Malaysia berhempas pulas mengatasi Taiwan dengan agregat 4-4. Layak ke pusingan kedua berdasarkan gol tempat lawan. Jelaskan? Hakikatnya, kita mampu untuk mengasak dan menjaringkan gol, namun untuk mengelakkan kesilapan mudah khususnya di bahagian pertahanan, amat diragui. Aku harapkan Datuk K.Rajagobal dah sedar & mempunyai jalan penyelesaiannya sendiri. Tapi aku silap.
1st leg match, Stadium Jalan Besar Singapore. Malaysia bangkit mengejar di separuh masa kedua setelah ketinggalan 4-1 di separuh masa pertama. Jaringan Abdul Hadi Yahya & Safee Sali merapatkan kedudukan kepada 4-3! Reaksi aku time tu, cukup lah. Just kekalkan kedudukan ni. 2nd leg nanti kita hanya perlu dapatkan 1 gol je. Ayuh, bertahan lah Malaysia!
Errr..
Seorang pakcik (warganegara Yugoslavia) yang berumur 41 tahun dan berketinggian 1.90m, layaknya duduk di rumah sambil menonton berita jam 8 bersama keluarga tercinta, dengan senang hatinya melakukan turning shot dihadapan Muslim Ahmad & bola melepasi jangkauan Khairul Fahmi untuk gol kelima Singapore. Bukan pembohongan, tapi kenyataan. Ni lah akibat nya bila sikap menghormati warga tua dibawa masuk dalam padang. Makan diri la jawabnya. Tolonglah belajar dari kesilapan ye Muslim. Kedudukan 5-3 kekal sampai wisel penamat. Owh, lupa. Safiq Rahim dapat kad merah dalam match ni.
Banyak jugak komen yang aku dengar dari peminat di Malaysia untuk kekalahan kali ni. Padang tiruan? Minor! Bagi aku dalam hal ni, tiada alasan. Kelemahan di barisan pertahanan. Diakui sendiri oleh Datuk K.Rajagobal. Masa tu ramai mintak centre-back, S.Subramaniam dimasukkan untuk pertemuan di Bukit Jalil nanti. Superb jugak aku tengok dia main time lawan Chelsea. Pandai baca game. Main dengan Kelantan pun okay. Tapi Datuk K.Rajagobal still berkeras nak guna player yang ada sekarang. Dah biasa katanya. Baiklah. Terserah anda.
Apa pun jurulatih negara masih mempunyai lima hari untuk memperbaiki segala kelemahan dan kepincangan skuad negara dan hanya satu malam sahaja untuk membuktikan kemampuan taktikalnya.
Khamis 28 Julai 2011,
Satu hari yang membuatkan aku banyak kali jugak tengok kalendar. Apa taknya. Bukak radio, lagu2 patriotik berkumandang setiap 5 minit. Dah macam hari Merdeka beb. Kalau topik bersembang, takde lain dah. Semua mengharapkan kita mampu menjinakkan sang singa. Haish, bangga pulak rasanya. Tak sangka rakyat Malaysia boleh bersatu kerana bola sepak. Hehehe. Kat newsfeed FB, jangan harap la status2 jiwang. Takdenye orang nak komen @ like. Semua pasal bola. Baik laki baik pompuan. Hebat kan? Btw, ramai jugak member2 yang tengok live kat stadium. Ada jugak yang mengajak. So sorry sebab aku memang tak dapat nak follow sebab ada hal kat KLIA haritu. Dah setel semua hal terus bergegas balik rumah. Takut terlepas beb. Game penting ni! Sebelum tu singgah kedai jap beli air dan kacang cap Ngan Yin. "Baru semangat sikit nak tengok!" ujar Along pada ku sambil tersipu-sipu malu.
Channel 801, Astro Arena. Seperti yang dijangka. Dah tiketnya pun sold out. Hampir 90 000 penonton memenuhi ruang Stadium Nasional Bukit Jalil. Ibarat mengimbau memori ketika kita membenam Indonesia di Piala AFF tahun lalu. Warna biru dan kuning mewarnai kaca televisyen jenama JVC rumah aku. Memang meriah beb. Seronok la siapa yang ada kat sana time tu. Bila je lagu Negaraku dimainkan, aku rasa hampir semua sing along. Big thumbs up la untuk korang kat stadium! Semangat camtu la yang kita mau.
Macam biasa kalau tengok match bola, 1st sekali aku tengok starting line-up. Hmmmmm, ada yang aku dah jangka tapi ada jugak yang buat aku kecewa. Okay, Khairul Fahmi & Aidil Zafuan kembali untuk memperkuatkan benteng menggantikan Sharbinee & Muslim. Tapi Abdul Hadi Yahya & Ismail Faruqi menggantikan Safiq Rahim (kad merah) dan Norshahrul Idlan (cedera)? Maybe Datuk K.Rajagobal ada perancangan taktikal di situ. Hopefully...
Al-kisahnya, 1st half yang serba tak menjadi. Segala gerakan mati di kawasan midfield. Di bahagian sayap pula, Amirul Hadi & S.Kunanlan dirantai ketat. Tak banyak yang mampu dilakukan Safee Sali di bahagian atas. Jarang sekali mendapat peluang. Sebaliknya Singapore pula yang selesa mengawal bola berbanding Malaysia. Seolah-olah mereka ingin mencari satu gol untuk menutup terus impian Malaysia. Pertahanan Malaysia yang diketuai Aidil Zafuan (yang kemudiannya dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan Muslim Ahmad) terus-terusan diuji. Terima kasih buat Khairul Fahmi yang beraksi cemerlang layaknya seperti Van Der Sar pada aku. Beberapa kali menyelamatkan pintu gol Malaysia dari dibolosi barisan serangan Singapura yang rakus. Hanya satu peluang keemasan diperolehi pasukan Malaysia pada separuh masa pertama. Hasil gerakan bijak Safee Sali & S.Kunanlan. Selainnya jelas milik Singapura yang mengasak hebat sehingga ke wisel penamat separuh masa pertama.
Rakyat Malaysia terus berharap sesuatu yang positif bakal berlaku. Tidak boleh tidak, Datuk K.Rajagobal perlu melakukan perubahan drastik untuk 45 minit seterusnya.
Komen sikit? Okay, Abdul Hadi Yahya bukanlah seorang attacking midfield bagi menggantikan tempat Norshahrul Idlan. Dia merupakan seorang striker utama. Ini membuatkan tiada lorongan atau hantaran berkualiti untuk Safee Sali mencipta gol. Bahkan apabila dua striker ini bergandingan, hantaran dari Amirulhadi & S.Kunanlan dari bahagian sayap dan Ismail Faruqi dari tengah amat diperlukan. Namun kekurangan pengalaman Ismail Faruqi menjadi penyebab tiada penjana gerakan yang kreatif di bahagian midfield. Mungkin Datuk K.Rajagobal perlu memasukkan Baddrol Bakhtiar ataupun Ashaari Shamsudin bagi menggantikan Abdul Hadi Yahya yang kaku di separuh masa pertama. Apapun misinya jelas di sini, kita harus mengasak semaksimum mungkin untuk mencari 2 gol yang diperlukan dan barisan pertahanan perlu bersedia menghadapi counter-attack dari Singapura.
Baiklah, separuh masa kedua bermula dengan berjuta harapan dari rakyat Malaysia. Mengharap dan terus mengharap. Harimau Malaya masih lagi dengan barisan pemain yang sama namun permulaan yang positif mula ditunjukkan. Amirulhadi dan S.Kunanlan terus menerus mengasak dari bahagian sayap. Safee Sali yang dikawal ketat sekali sekala melakukan percubaan. Muslim dan Fadhli Shas kekal bertahan di bawah. Namun Abdul Hadi Yahya dan Ismail Faruqi terus tenggelam tatkala pemain Malaysia memerlukan sumbangan dari mereka. Gugup dan sering kehilangan kawalan bola, nyata kita tak boleh mengharapkan sesuatu dari mereka. Ismail Faruqi dikeluarkan dan diganti dengan K.Gurusamy, seorang lagi defensive midfield. Tiada perubahan ditunjukkan dek kerana permainan Amar Rohidan dan Gurusamy terlalu serupa. Kadangkala Safee Sali terpaksa turun ke bawah untuk menampung ruang antara midfield dan striker.
Sehinggalah pada minit ke-57, tanpa disangka, S.Kunanlan dengan larian derasnya berjaya mengelirukan pertahanan Singapura yang menyangka dia telah melakukan foul. Tatkala pengadil meneruskan permainan, S.Kunanlan terus melorongkan bola kepada Safee Sali yang tidak dikawal. Tanpa menunggu, penyerang Pelita Jaya FC itu terus melakukan rembatan kencang melepasi penjaga gol Singapura untuk gol pertama Malaysia. Stadium Nasional Bukit Jalil terus bergegar dengan sorakan para penyokong. Gol tersebut ibarat menyuntik semangat pemain Malaysia. Asakan demi asakan terus dilakukan bagi mencari gol kedua ataupun gol penyelamat.
Namun permainan berisiko dari Mahali dan Asrarudin selaku fullback menyebabkan Singapura sentiasa melakukan counter attack. Gemar melakukan larian overlap ketika menyerang namun agak lambat untuk turun bertahan. Nyata apa yang dirisaukan berlaku. Dalam kita ghairah mengasak, pada minit ke-73, kealpaan benteng Malaysia diambil peluang oleh striker MUDA Singapura, Aleksandar Duric. Dengan menggunakan ketinggiannya menghantar bola kepada Shi Jiayi yang melakukan larian dari tengah dan tidak dikawal. Tenang Jiayi membawa bola dan menyudahkannya. Khairul Fahmi tewas kali ni. Stadium Nasional Bukit Jalil serta-merta sunyi sedikit. Gol tersebut betul2 menyentap semangat pemain mahupun penyokong Malaysia. Bagi aku, tiada apa lagi yang boleh dilakukan ketika ini. Perjudikan barisan pertahanan, just play all out attack.
Tetapi Singapura jauh lebih bijak dengan permainan psikologi mereka. Setiap kali ditolak jatuh oleh pemain Malaysia, mereka akan meraung kesakitan seolah-olah sudah sampai ajal mereka. LOL. Banyak kali permainan dihentikan akibat gejala yang tidak sihat ini. Secara tak langsung menimbulkan kemarahan penyokong Malaysia yang mula membaling botol ke dalam padang. Sedikit sebanyak taktik Singapura ini kelihatan berjaya dan seolah-olah terus membunuh semangat melawan dari pemain Malaysia. Kemasukan Fakhri Saarani juga tidak membawa apa-apa makna. Hasilnya beliau mengutip kad merah setelah menerima dua kad kuning.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat. Bermakna Singapura layak ke pusingan seterusnya dengan agregat 6-4. Tahniah buat pemain boroi & pemain pencen dari Singapura. Secara tak langsung, impian kita untuk melihat Malaysia bermain di peringkat lebih tinggi musnah lebur. Kelayakan peringkat kumpulan bukan rezeki kita. Kehampaan jelas terlihat di wajah pemain dan penyokong Malaysia. Langkah longlai bagaikan tak bermaya. Sedih namun jauh di sudut hati mereka, Harimau Malaya tetap di hati. Cuma satu yang aku respek. Walaupun kalah, penyokong Malaysia tetap memberikan standing ovation untuk pemain Malaysia. Cayalah! Semangat camnilah yang kita mau. (dengar2 ada jugak beberapa penyokong yang keluar stadium sebaik saja Singapura mendapatkan gol penyamaan. Betul ke?)
Jujur aku cakap, Singapura main tak hebat manapun. Mereka menang kerana Malaysia gagal beraksi dengan cemerlang layaknya seperti juara Piala AFF. Dengan pemain2 seperti Qiu Li, Shi Jiayi dan Aleksandar Duric, aku yakin diorang ni takkan pergi jauh pun dalam kelayakan peringkat group nanti. Apetah lagi diundi dalam satu kumpulan dengan China, Jordan & Iraq. Dare to bet with me?
Okay. Lupakan Singapura. Perlawanan sudah pun tamat dan pelbagai persoalan mula timbul. Post mortem perlu dilakukan untuk mendapatkan jawapan.
Bahagian pertahanan semestinya. Mahali-Muslim-Fadhli Shas-Asrarudin. Gandingan 4 pemain ini sudah lama bersama sejak Piala AFF kecuali Mahali yang sekali sekala bertukar dengan Sabre Abu. Inilah pemain2 yang kental bertahan dengan asakan timnas Garuda di Gelora Bung Karno tahun lalu. Tenang merantai pergerakan Cristian Gonzáles & Irfan Bachdim. Namun lain pula cerita tak lama kemudian. Menentang Taiwan, Arsenal, Liverpool dan Singapura khususnya, gawang Malaysia dibolosi sebanyak 20 kali. Disini kredibiliti mereka mula diragui. Ketepikan soal prestasi Khairul Fahmi & Sharbinee kerana kebanyakan gol pihak lawan berpunca hasil kesilapan pemain pertahanan kita sendiri. Pertahanan kita sangat rapuh, kerap kehilangan fokus dan mudah ditembusi. Mereka seringkali terperangkap dengan jerat offside sendiri. Kadang-kadang striker lawan tidak perlu berfikir panjang untuk membaca defensive line Malaysia. Man marking juga sangat lemah terutama dalam kotak penalti. Gol kelima Singapura ketika perlawanan 1st leg mendedahkan segalanya. Mungkin teknik permainan Vidic/Ferdinand, Puyol/Pique atau Terry/Carvalho boleh dijadikan bahan rujukan berguna buat Muslim dan Fadhli Shas.
Dibahagian fullback juga agak bermasalah. Dikatakan lubuk bagi winger pasukan lawan. Memang bagus apabila melihat Asrarudin dan Mahali rajin naik ke atas membantu serangan. Kadang-kala melakukan crossing yang berkualiti untuk Safee Sali. Namun mereka lambat untuk turun bertahan dan ia meninggalkan ruang buat pemain seperti Qiu Li dan Shi Jiayi melakukan counter-attack dari bahagian tepi. Asrarudin harus mengaplikasikan cara permainan Gabriel Heinze manakala Bakary Sagna untuk dicontohi Mahali. Mereka cemerlang dari aspek bertahan dan menyerang.
Jadi perlukah rombakan besar-besaran di bahagian pertahanan? Langsung tidak. Pemain pertahanan kita sangat muda dan mampu digilap untuk masa depan. Namun kehadiran S.Subramaniam ke dalam skuad Malaysia harus dipertimbangkan semula.
Sebenarnya Skuad Malaysia sudah ada pemain2 tunjang seperti Khairul Fahmi, Safee Sali, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan dan S.Kunanlan. Bukti, seandainya ada antara pemain ini tidak diturunkan, rentak pasukan kita kelihatan sumbang dan longlai. Aksi di Bukit Jalil adalah kemuncaknya di mana ketiadaan Safiq dan Norshahrul terus diratapi. Kehadiran Ismail Faruqi dan Mohd Hadi hanya untuk membuktikan bahawa mereka masih kekurangan pengalaman beraksi dalam perlawanan antarabangsa. Kemasukan Baddrol Bakhtiar juga mampu membantu tatkala dia kreatif & mempunyai kelincahan seakan Norshahrul Idlan. Tak salah juga jika beberapa pemain skuad Harimau Muda dipanggil sebab ada diantara mereka aku tengok berbakat dan mampu dibentuk menjadi pemain harapan. Wan Zack Haikal ataupun Azwan Roya mungkin? Dalam hal ini, Datuk K.Rajagobal perlu bijak menyesuaikan taktikalnya dengan pilihan pemain yang diturunkan ketika itu. Jangan takut untuk melakukan perubahan drastik andai diperlukan.
Aspek mental pemain juga perlu dititikberatkan. Beraksi dalam tekanan untuk mencari 2 gol tanpa bolos dihadapan lebih 90 000 penonton sendiri, tugas tersebut seakan berat buat pemain kita. Mereka gagal menonjolkan permainan sebenar dan nampak kurang selesa ketika memegang bola. Segala clearance dari bawah cukup untuk sekadar melegakan asakan lawan dan bukan sebagai hantaran untuk melakukan serangan balas. Sentuhan kurang kemas, kegagalan midfield dalam menjana gerakan dan Safee Sali yang kadangkala terpaksa mengorbankan posisinya dalam kotak penalti Singapura untuk turun ke bawah mengutip bola menterjemahkan betapa malam yang serba tak menjadi buat Harimau Malaya. Situasi ini jelas berlainan ketika final Piala AFF di Bukit Jalil tahun lalu di mana kita memulakan perlawanan dengan kedudukan 0-0. Kita memperkotak-katikkan pertahanan Indonesia, mengawal bola dengan penuh keyakinan dan mempamerkan corak permainan counter-attack yang cukup menghiburkan.
Tidak dinafikan juga, permainan psikologi Singapura sebelum & ketika perlawanan benar2 menguji mental para pemain. Aksi primadona mereka di atas padang seolah-olah menyentap sisa perjuangan pemain kita. Acapkali semasa kita ingin melakukan serangan, maka akan kelihatanlah seorang pemain Singapura terbaring kesakitan di tengah padang untuk memberhentikan perlawanan. Ya, kita menyampah. Kita meluat. Kita kecewa dengan permainan busuk dan semangat kesukanan yang ditunjukkan Singapura. Membuktikan bahawa mereka akan melakukan apa sahaja cara sekalipun untuk mempertahankan kelebihan agregat yang mereka miliki. Namun harus diingatkan bahawa apa yang mereka lakukan adalah 'legal' dalam bola sepak. Tidak dinyatakan dalam undang2 bahawa sesebuah pasukan hanya dihadkan untuk cedera beberapa kali sahaja dalam permainan. So, bagi aku Singapura telah bermain taktik kotor yang dibenarkan dalam bola sepak. Ini kenyataan.
Roy Keane, Paolo Maldini, Patrick Vieira, John Terry, Carles Puyol dan Steven Gerrard. Apakah persamaan mereka selain layak berlakon dalam KL Gangster 2? LOL. Mereka adalah antara contoh kapten pasukan yang tegas, agresif dan layaknya digelar general di atas padang. Sentiasa memimpin, menegur kesilapan dan melontarkan kata2 semangat kepada rakan sepasukan dalam apa jua keadaan sekalipun. Kelibat mereka kadang-kadang boleh menimbulkan rasa gerun di pihak lawan. Sila tonton European Champions League Final 2005, Liverpool lawan AC Milan sebagai rujukan. Even aku supporter Man Utd, aku tak boleh tipu. Aku kagum dengan sifat kepimpinan Steven Gerrard dalam match ni walaupun mereka ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama. Ternyata, kita tiada pemain dengan ciri2 seperti ini dalam pasukan Malaysia. Disaat pemain kita sedang kehilangan konsentrasi dengan pelbagai aksi negatif pasukan lawan, kehadiran kapten yang berpengaruh amat diperlukan. Pendapat aku Aidil Zafuan lebih sesuai menggalas tugas kapten namun kecederaan sering menghantui beliau. Manakala, kapten Malaysia sekarang, Safiq Rahim perlu lebih memahami gaya kepimpinan berpasukan.
Tidak dilupakan, perancangan jangka masa panjang. Selagi prestasi mereka menyerlah, pemain seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan, Khairul Fahmi, Safiq Rahim dan S.Kunanlan harus dikekalkan. Namun jangan pula kita terlepas pandang bakat2 dalam skuad Olimpik bimbingan Ong Kim Swee. Bagi aku mereka adalah asas pasukan negara untuk 5-10 tahun mendatang. Apa yang perlu dilakukan FAM pula adalah meneruskan program pembangunan bakat2 muda. Jangan berhenti dan cepat berpuas hati dengan apa yang kita ada sekarang. Ini penting supaya kita mempunyai bekalan pemain2 muda yang mampu untuk digandingkan dengan pemain senior. Lebih molek sekiranya mereka ini dieksport ke liga luar. Tak perlu jauh, cukup sekitar Asia. Lihat sahaja Safee Sali. Permainannya berada dalam kelas tersendiri sejak berhijrah ke Indonesia. Selepas itu hantar pasukan peninjau untuk memantau prestasi pemain2 kita di luar sana. Kalau bagus, serapkan mereka dalam pasukan kebangsaan dan berikan pendedahan secukupnya terutamanya dalam perlawanan persahabatan bermutu tinggi. Yeah, cadangan di atas mungkin melibatkan belanja yang cukup tinggi. Tapi korang semua boleh berfikir secara rasional akan hasilnya nanti bagaimana kan?
Sayugia diingatkan, bukan senang untuk menarik kehadiran lebih 90 000 penyokong Malaysia ke stadium. Jika FAM masih lagi tidur dan hanya masih bersikap lewa terhadap pembangunan bola sepak negara, tak mustahil stadium akan kembali sunyi selepas ini. Pesanan untuk Datuk K.Rajagobal dan pemain2 negara, lupakan apa yang berlaku di Bukit Jalil tempoh hari. Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita bangkit dari kekalahan tersebut. Persiapan untuk mempertahankan Piala AFF 2012 sepatutnya sudah bermula. Buat penyokong Malaysia, especially yang selalu ke stadium untuk memberi sokongan, korang betul2 buat aku bangga. Masih terngiang suara korang semua sing along lagu Negaraku time match lawan Singapore haritu. Meremang bulu roma aku weh. Salute abis!
Akhir kata, teruskan menyokong bola sepak Malaysia. Ingat, perjalanan kita belum berakhir kerana ia baru sahaja bermula...